Wednesday, December 31, 2008

jiwa halus sedang menggagah

Dengarkan segala bisik kata hatimu itu
Lempar sejauh mana kata-kata nista mereka
Biarkan sehingga mereka terlelah rebah
Takkan pernah termamah dengan seranah

Gempitakan pada semua
Sorakkan pada mereka
Ada jiwa halus sedang menggagah
Sedang memuncak hingga ke langit
Mengaut tuah

Lihatkan juga bahawa jiwa itu
Sudah dipasakkan adanya
Dengan segala tiang seri berdiri
Yang sudah puas dimamah dan dikunyah selama ini

Dan kini,
Itu tidak lagi.

Friday, December 26, 2008

senyum nipis untukmu langit

beralaskan rumput-rumput kecil
sesekali disapa lembut angin malam
aku merenung langit
telunjuk mau melakar-lakar sesuatu
nyatanya tidak terlukis apa

senyum nipis untukmu langit
sekadar itu yang aku mampu untuk malam ini.

Tuesday, December 23, 2008

semalam kita berbicara abstrak

semalam itu
ketika kamu sudah menghela nafas
bersiap melangkah pergi
aku mintakan kamu tunggu sebentar
kamu diamkan tanpa laku
sunyi.
sepi.

suluhan mata ada berbicara
agar kau membenarkan aku
meminjam bahumu
lantas jemarimu membawa
kepala membenam
terlekap wajah sugul
di situ
dan kubasahi ia semahuku

sunyi semakin mendatar
kita semakin membisu tiada bicara
kerana aku tau
kamu sedang mengerti
dengan bicara abstrak ini

tapi kamu tetap akan pergi
tiada dermaga untukku berlabuh lagi

Monday, December 22, 2008

andai bisa sezaman seperti mereka

di suatu padang pasir
beratapkan awan putih menjalar sunyi dilangit
capal yang mengheret derap langkah semakin haus
aku berhenti berada di kejauhan itu
menyeka setiap rintik di dahi
melekap hujung lengan di situ

kupandangkan di suatu sudut
terdengar sekawan anak-anak kecil
dengan compang campingnya
sedang terkekeh riang
tertawa bersama
bagai mengajak aku memutar masa
membalikkan bumi
sezaman seperti mereka

di mana
anak kecil itu
riang bermain dengan sekadar sebuah kotak
yang diimaginasikan jauh
untuk menjejak sang bulan
juga diimpikan sebagai sebuah kendera hebat
dipacu kemana-mana
turut dijadikan sebagai pondok
untuk berteduh bersama anak pinak
berkejaran sesama mereka mengelilingnya
duduk memangkin bersiul bersama
dan kemudian tertawa lagi
indah dan cukup dengan itu

dan kekehan itu
tidak langsung menyentuh diri
kerana serasa diri pun cukup
untuk semua ini

comelkan zaman kanak-kanak itu? *senyum simpul*

Friday, December 19, 2008

pari-pari sedang mencari kelingking kamu

seperti mahu mewarna setiap bintang sama warna-warna di hati
biar adanya langit kelam itu bergemerlapan takhta
dengan kerdip warna-warni gugusan bintangnya
yang mana aku mahu semesta tunduk
segan akur
bila mana melihat ada sesusuk bahagia
lincah menari-nari di dalam setiap diri ini..
di dalam setiap jiwa ini..

wahai si jiwa dungu
kenapa memalingkan wajah di sebalik itu?
lihatkan jemari aku menggamit
memanggil-manggil namamu

mari sini
dekat sama aku

aku ada taman kecil
sangat indah ditakuk hati
berpacak sama pondok kerdil
juga sangat luas di ruang hati
ada bunga-bunga kecil
berlagu kiri ke kanan kembang menyeri

mari kemari, sayang
dekat sama pari-parimu
dia akan sentuh jiwa kamu
menoleh sama
mencari kelingking kamu
untuk dibawa sama ke dalam
taman kecilnya

lantas,
menjadi seperti di dalam aku
berwarna-warni seperti seorang aku

Thursday, December 18, 2008

dibawa pergi ke bima sakti

arakian tersebut lah kisah di suatu hari.. sewaktu mentari sedang bangkit menyinar lantas mengejutkan tuan puteri dari peraduannya. langsung memandang jari jemari halus kerana masih merasakan hangat setiap genggaman. di mana malamnya sebentar tadi satu persatu jemari sudah melingkar tersulam dipimpin sang arjunanya untuk dibawa pergi menari bersama antara bima sakti. yang dicuit-cuit dagunya, yang dipagut lembut bibir delimanya, yang dirangkul sentiasa dalam dakapannya ,yang dipujuk-pujuk hati rawannya, yang dipuisikan sentiasa sebelum beradunya, yang diulit sentiasa setiap inci kulitnya, yang diangkat setiap sabda kalimah cintanya, yang sedarnya di pagi hari tatkala membuka kelopak mata redupnya, semua itu hilang bersama kabus. menghambat rasa di hatinya. aduhai berduka lagi tidak terperi. tersedu nan sang tuan puteri sepanjang hari. siangnya menanti-nanti lagi langit kirmizi melangkah pergi. menjemput malam bertandang lagi. menanti sang arjuna untuk membawanya pergi.

sejengkal jiwa

diamkan degup jantung.
matikan kata akal.
sunyikan rumah ini.
sepi lagi lorong tirus ini.
gelapkan kotak hati.
biar dia kelam lagi.

baurkan menjadi satu.
tatangkan pada sejengkal jiwa.
lingkarkan pada seorang aku.

suara-suara kecil pula berbisik,
apalah nasib..
apalah nasib..

Wednesday, December 17, 2008

maaf,bukan tidak mau..

badai sedang melanda pantai jiwaku lagi.
sedaya mungkin itu juga
kamu cuba sisipkan satu persatu lembar kekuatan
dan akhirnya aku pandang sepi sahaja.

maaf,bukan aku ini tidak mau atau reti menghargai
tetapi mungkin lebih selesa mencari ketenangan di kaki langit sendiri.

perhatikan aku.
lama-lama..
kamu bisa mengerti di mana adanya diri aku.

perasaan apakah ini?

saat bibir ini dipagut bibirmu,aku sedar akan dunia ini sudah aku tinggalkan kerana dibawa berterbangan dengan memakai sayap-sayap putih untuk ke syurga itu.

tetapi

dalam hati masih ada rongga-rongga kosong yang bernafas.
ya..ia bernafas.
dan masih terus bernafas..

*sedang mendongak ke langit*

Monday, December 15, 2008

biarkan aku sendiri terus di dalam jajahan jiwa ini

di sini..

ada semua
kenangan kita
senyuman kamu
cinta kita
rindu untuk kamu
cerita kita
pilu hatiku

semua..dan segala.

sudah tertakluk di jajahan ini
aku penjajah jiwa ini
jadi,biarkan aku.

adanya dia

lopak-lopak air mengendong tanah
ada bayang kepul awan hitam
hari sedang bermuram durja
tapi tidak pula hatiku ini

kalau langit sedang berduka
dalam hati sedang berbunga
sedang ada mau menemani
yang kamu panggilkan teman

adanya dia
bisa membikin dunia didakap pelangi

adanya dia
bisa menuntun hati ke bulan berseri

kerana
setiap satu kalimah terlafaz itu
bisa dizahirkan untuk buat hati-hati kita
gembira

Sunday, December 14, 2008

untuk menjadi dia dalam hati yang kau panggil perempuan

tidak perlu berkemeja raoul
tidak perlu berjam tangan maurice lacroix
tidak perlu berkasut kulit salvatore ferragamo
tidak perlu berwangi-wangian
tidak perlu berkereta lamborghini hitam
tidak perlu bergadget canggih
tidak perlu maskulin
tidak perlu itu
tidak perlu ini

cuma,
cukup sekadar
bisa membuat hati senang
bisa membuat hati terbang
bisa membuat malam menjadi indah
bisa membuat setiap senyuman itu menjadi suatu mimpi
bisa membuat cinta itu sesuatu yang terisi

terisi dengan setiap adanya kamu yang seadanya itu.
cukup itu.

Saturday, December 13, 2008

senyum saja lah, hati

seperti sekian lama terelung di dalam suatu terowong gelap yang panjang,kini sudah terkeluar dari situ.mau menghirup segala udara segar yang aman.
melihat birunya langit , hijaunya dedaunan merimbun , kepulan awan memutih, melihat layang-layang ditebarkan , mendengar hiruk-pikuk , kicau burung dan desir ombak.

kerana kini, sedang merasakan hikmah itu yang sangat tulus.

*senyum*

hembuskan kala nafas syurgamu, bonda

Aku ini si gila
Yang sedang cuba mendepangkan tangannya
mengharapkan langit biru rebah dalam pelukan
mau mendakap indah sepuas-puasnya
terus berdiri mencari jernih mata itu

hutan, terus menebal
mari terus hijaukan rasa hatiku
penuhkan dengan rasa rindu
aku mau kau tahu
rindunya aku

melihat sekilas ada wajahnya
adalah bisa untuk kembalikan jiwa
kecamuknya di dalam
kerana rindu-rindu sedang berterbangan
kerana hati sedang bertaburan
semuanya sedang mendebu ke langit jingga

kabus,
tutupkan mata si anak gila ini
yang tak pernah berhenti mencari-cari
serpihan jiwa
di kala rindu pada bunda menjulang-julang

dengan itu,
hembus kala nafas syurgamu, bunda
dihujung ubun-ubun anakandamu
untuk dia lagukan ketika beradu

MENGENAI TINTA JIWA?

My photo
sesuatu yang simple dan silence